Saya mulakan tinta yang tak seberapa sekadar memeriahkan. Wah! puitis sungguh bahasa saya bukan. Ya! Memang sekian lama menjadi idaman untuk memiliki blog sendiri. Halaman dimana segala yang dipanggil suka duka, kepayahan, jenaka, atau kisah dunia yang sudah makin di penhujung ini barangkali boleh dikongsikan. Dan sekalian lama juga hasrat itu tidak pernah termakbul lantaran tercampak dari medan teknologi kerana internet di rumah yang sekadar biasa-biasa saja, perlu dial-up dan akan muncul bunyi-bunyi yang nyaring dan panjang (jangan ketawa yea). Jadi, rasa malas dan culas lebih menguasai dari rajin dan mahu. Maka, wajarlah rasanya saya berterima kasih kepada sahabat saya yang seorang ini, pengasas kepada blog tutorial T11, Mohammad Fakhruddin B. Mohammaed Nor. Produknya telah mencipta peluang buat saya berkongsi cerita, tidak, lebih kepada impian barangkali. Impian mahu menulis dalam dunia maya. Inilah nukilan yang pertama. Dan bakal menyusulnya nukilan yang lain-lain di Blog saya kelak. Insya Allah. Ziarahlah ye. Sebelum menokhtahkan tinta saya ini, ingin juga mencuri peluang menyampaikan salam selamat buat sahabat dan adik-adik junior saya. Selamat menempuh alam universiti, yang cabarannya beribu, onarnya nanti bertalu-talu dan ada juga bara di sepanjang perjalanan. Buat yang belum berkesempatan menjejakkan kaki ke gerbang ilmu yang lebih tinggi, usah bersedih. Talinya berusaha dan simpulan hujungnya keazaman. Kejayaan tidaklah dilihat pada angka dan abjad tetapi lebih dari itu, kejayaan adalah beramal dengan ilmu dan menyampaikan juga dengan ilmu. Salam kejayaan, salam persaudaraan buat kalian. ~ arasyi~
No comments:
Post a Comment